Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 April. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Beribi Kawasan 2 buat julung kalinya menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampung Beribi Tahun 2026 khusus untuk seluruh warga kampung berkenaan.
Dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Rendah Beribi Telanai, acara sambutan berkenaan diadakan di dewan sekolah tersebut, petang tadi.
Majlis berkenaan bertujuan bagi mengeratkan silaturahim, memupuk perpaduan serta memperkukuh semangat kejiranan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk kampung.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penghulu Mukim Gadong 'B', Awang Rosliani bin Haji Umar.
Ketua Kampung Kawasan 2 Beribi, Awang Mohammad Faizal bin Haji Zaini selaku Pengerusi Majlis, dalam ucapan alu-aluannya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kesempatan untuk mengadakan majlis berkenaan, di samping mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada mereka yang hadir.
"Kita berharap agar majlis seperti ini akan menjadi satu permulaan yang baik dan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai satu aktiviti yang dapat menyatupadukan masyarakat kampung kitani," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa MPK Kampung Beribi Kawasan 2, para penyumbang, ahli-ahli Muslimah serta seluruh penduduk kampung yang telah berganding bahu dalam menjayakan majlis berkenaan.
Awang Mohammad Faizal juga menyeru kepada para penduduk kampung untuk sama-sama mengambil peluang pada majlis berkenaan bagi terus mempererat ukhuwah, saling bermaafan serta mengekalkan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan masyarakat di negara ini.
Majlis disusuli dengan penyampaian sumbangan derma kepada sembilan anak yatim dari Kampung Beribi.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan pentas dan seterusnya menikmati jamuan.